Seorang pemotong kelapa sawit disambung reman 4 hari lagi bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang remaja dipercayai adik iparnya yang berusia 17 tahun dalam kejadian di Pasir Mas, pada Jumaat lepas.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi di Mahkamah Kota Bharu.

Lelaki berusia 30 tahun itu disambung reman bermula hari ini hingga Rabu depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Wan Khairuddin Wan Idris ketika dihubungi berkata, suspek ditahan pada pukul 4 petang 30 Oktober lalu.

Suspek kemudian direman selama 7 hari bermula 31 oktober sehingga 6 November.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan mengenai kematian remaja perempuan berusia 17 tahun.

Katanya, bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) 2, Kota Bharu mendapati punca kematian disebabkan lemas.

Malah, terdapat kesan luka di muka, leher dan kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Pemeriksaan fizikal ke atas suspek pula mendapati terdapat kesan calar pada bahu kiri belakang disyaki dicakar.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini