Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan terdapat insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton dikesan di Stesen Pemantau Sungai Seksyen 3, Bangi pagi semalam yang berisiko menyebabkan tiga loji rawatan air (LRA) dihentikan operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, susulan insiden itu, Ops Sumber Air Negeri Selangor yang dikendalikan oleh LUAS bersama agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan Air Selangor, telah mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

Tambahnya, antara loji rawatan air yang berisiko dihenti tugas ialah LRA Semenyih 2, LRA Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang.

Anggaran jarak lokasi pencemaran LRA Semenyih 2 adalah 6.63 kilometer (km), LRA Bukit Tampoi (18km) dan LRA Labohan Dagang (31.9 km). 

LUAS telah menjalankan siasatan di beberapa lokasi di Sungai Balak dan ujian pensampelan mencatatkan bau sehingga dua ton, manakala di Sungai Sekamat dan di kawasan Sungai Hulu, tiada sebarang pencemaran bau dikesan.

LUAS dan Air Selangor masih lagi menjalankan siasatan terhadap punca pencemaran bau itu dan kekerapan pensampelan bau di Sungai Langat juga dipertingkatkan daripada satu jam kepada 30 minit. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini