Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan penduduk terjejas banjir yang bergejala, berisiko atau positif COVID-19 akan diasingkan di pusat kuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada orang lain.

Penduduk terjejas akan disaring terlebih dahulu untuk mengesan jika mempunyai gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum boleh memasuki pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau dalam kenyataan menjelaskan kes positif COVID-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) atau PPS Khas atau dirujuk ke hospital mengikut keperluan.

Manakala kontak rapat atau individu di dalam pengawasan (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi di blok berlainan, manakala individu yang bergejala juga akan dikuarantin.

Individu terlibat juga perlu memaklumkan status risiko COVID-19 kepada agensi terlibat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini