Majoriti pesakit kategori empat dan lima COVID-19 dalam kalangan individu divaksin yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dari Minggu Epidemiologi (ME) Ke-35 hingga 45 adalah penerima vaksin jenis Sinovac.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata disebabkan itu, sela masa bagi pemberian dos penggalak untuk penerima vaksin primer jenis Sinovac lebih pendek berbanding vaksin jenis lain.

“Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih cepat,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Laporan dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Hospital Sungai Buloh itu menunjukkan kes COVID-19 kategori empat dan lima bagi penerima vaksin jenis Sinovac adalah yang tertinggi bagi setiap ME dengan ME Ke-45 merekodkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 165 orang.

Sementara, penerima vaksin AstraZeneca merekodkan kemasukan ke hospital terendah dengan purata kurang daripada 10 kes setiap minggu.

Kes tertinggi membabitkan vaksin AstraZeneca direkodkan pada ME Ke-38, iaitu sebanyak 12 kes.

Bagi vaksin jenis Pfizer pula, kemasukan pesakit kategori empat dan lima tertinggi direkodkan pada ME Ke-45 dengan 24 kes.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini