Malaysia kehilangan seorang lagi jaguh terjun dunia apabila Cheong Jun Hoong mengumumkan persaraannya hari ini selepas kontrak bersama skuad kebangsaan tidak disambung.

Perkara itu diumumkan Jun Hoong secara rasmi dalam laman sosial Facebooknya, sekali gus menjadi atlet terjun kedua yang bersara selepas Leong Mun Yee.

Dalam kenyataannya, Jun Hoong mengakui bahawa dia gagal mempamer prestasi terbaik ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu dan menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka.

Namun, bekas juara dunia 2017 dalam acara 10 meter platform individu itu menjelaskan, faktor tersebut adalah didorong oleh proses pemulihan kecederaan yang dialami pada 2018 serta pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2 tahun lalu.

Selepas Tokyo 2020, Jun Hoong berkata dia kembali memberi fokus kepada proses pemulihan kecederaannya dan yakin dapat kembali ke prestasi sebenarnya.

Penerjun berusia 32 tahun itu turut menyatakan bahawa dirinya masih lagi bersemangat untuk mewakili negara, namun terpaksa akur apabila kontraknya tidak disambung oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Atas sebab-sebab itu, atlet kelahiran Perak itu akhirnya terpaksa mengumumkan persaraannya selepas 22 tahun menabur khidmat kepada negara.

Antara pencapaian terbaik Jun Hoong adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio, muncul juara dunia 2017 di Budapest, memenangi pingat perak Kejohanan Piala Dunia Terjun 2014 dan 2016, pingat perak Sukan Asia 2014 Incheon serta pingat emas Sukan Komanwel 2018 Gold Coast.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini