Pemain beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon kembali sertai skuad kebangsaan. Persatuan Badminton Malaysia, BAM, dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan telah meluluskan permohonan Peng Soon untuk kembali menyertai badan induk itu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, setelah berbincang dengan teliti, pihaknya sepakat untuk menyerap pemain berusia 33 tahun itu dengan tujuan memperkukuh beregu campuran selainĀ  berperanan membimbing skuad remaja negara.

Beliau turut menambah, Peng Soon dalam permohonannya menyatakan hasrat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selain ingin memainkan peranan sebagai mentor kepada pemain remaja. Peng Soon akan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan pada 1 Januari depan.

Semalam, pemain itu mengumumkan perpisahan dengan pasangannya Goh Liu Ying dan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia kelmarin adalah aksi terakhir mereka bersama selepas 13 tahun.

Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016. Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013 – terbaik dalam kerjaya mereka.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini