Seorang penganggur yang ditahan selepas disyaki menyebabkan kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di daerah Rembau, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan memiliki ganja.

Mengikut kertas pertuduhan, Munzir Azmeer Abdul Rahim, 28 tahun, didakwa memiliki tumbuhan kering disyaki dadah kanabis dianggarkan seberat 3.39 gram di dalam kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 242.9 di lebuh raya PLUS arah Selatan kira-kira pukul 10.25 pagi pada 5 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini