Julian Assange, pengasas WikiLeaks yang sedang menjalani hukuman penjara, dibenarkan berkahwin dengan tunangnya Stella Moris.

Menurut laporan akhbar the Guardian dan The Sun, majlis akan diadakan di Penjara Belmarsh, United Kingdom pada Disember ini.

Minggu lepas, Assange dan Moris memfailkan saman terhadap Setiausaha Kehakiman UK , Dominic Raab dan ketua Penjara Belmarsh kerana menghalang perkahwinan mereka.

Assange dan Moris telah lima tahun bertunang dan mempunyai dua anak.

Pengasas WikiLeaks itu ditahan di London pada 11 April 2019 dan dijatuhi hukuman penjara 50 minggu kerana melanggar peraturan perintah ikat jamin pada 2012.

Dia berlindung di kedutaan Ecuador di United Kingdom untuk mengelak diekstradisi ke Sweden, kerana menghadapi tuduhan serangan seksual yang kemudian kes itu digugurkan oleh sebuah mahkamah di Sweden.

Assange dikehendaki Amerika Syarikat atas tuduhan pengintipan selepas WikiLeaks menerbitkan beribu-ribu dokumen sulit mengenai jenayah perang yang dilakukan tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini