Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen sehingga 31 Disember ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan keputusan itu adalah atas keprihatinan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang masih terkesan susulan impak pandemik COVID-19.

Menerusi kenyataan dimaklumkan, pengecualian fi pembaharuan lesen itu melibatkan 3,419 syarikat pengusaha pelancongan yang berjumlah RM5.676 juta.

Sebelum ini, MOTAC telah memberi pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021, seterusnya dari 1 Julai hingga 31 Disember 2021 dan kemudian dilanjutkan dari 1 Januari lepas hingga hari ini.

MOTAC merupakan agensi kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturan mempunyai bidang kuasa menguatkuasakan akta itu bagi melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan Pemandu Pelancong di bawah Seksyen 21.