Usaha bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian antara fokus utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Ini berikutan jumlah penyertaan mereka dalam bidang pertanian masih rendah iaitu hanya 15 peratus berbanding jumlah keseluruhan belia ketika ini 14.6 juta orang.

Penglibatan belia penting kerana golongan itu dikenalpasti sebagai kelompok utama yang mampu mengaplikasikan teknologi-teknologi pertanian moden, pertanian persis dan pertanian pintar.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata penyertaan belia juga mampu meningkatkan jaminan bekalan makanan dalam negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Katanya kerajaan kini memberikan fokus melalui Program Agropreneur Muda dalam menggalakkan penglibatan golongan muda berusia 18 tahun hingga 40 tahun.

Sejak 2016 hingga kini, kementerian telah berjaya membantu seramai 7,528 orang dengan peruntukan RM134.29 juta melalui Geran dan Pembiayaan Agropreneur Muda.

Beliau menyatakannya selepas merasmikan Klinik Usahawan Agro Negeri Perlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Kubang Gajah, Arau.

Klinik Usahawan Agro dilaksanakan bagi membantu usahawan-usahawan muda melalui jabatan dan agensi di bawah MAFI menceburi diri dalam bidang pertanian.

Bersempena program ini, seramai 39 Agropreneur Muda Negeri Perlis turut menerima bantuan Geran Agropreneur Muda berjumlah RM780,000.

Ia menjadikan keseluruhan sebanyak 266 peserta agropreneur muda negeri ini menerima geran berkenaan sejak 2016 dengan keseluruhan berjumlah RM4.51 juta.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini