Pengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 yang berstatus positif COVID-19 yang masih berada di hospital, pusat rawatan atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin mahupun kediaman, tidak dibenar keluar untuk mengundi bagi pilihan raya berkenaan.

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya turut memaklumkan, pengundi bergejala yang hadir ke pusat pengundian wajib memakai pelitup muka berganda.

Manakala pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS)  perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat pengundian.

Kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan yang dilakukan PKD berkenaan.

Pengundi di lokaliti PKPD pula perlu menjalani ujian saringan  RTK Antigen COVID-19, 24 jam sebelum tarikh mengundi.

Hanya pengundi disahkan negatif COVID-19 dan mendapat kelulusan daripada polis dibenar keluar mengundi.

Maklumat terperinci berkaitan SOP berkenaan boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi SPR di https://www.spr.gov.my/.

PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 akan membuka tirainya 26 Februari ini bermula dengan sesi penamaan calon.

Kempen akan berlangsung selepas penamaan calon hingga 11.59 malam, 11 Mac.

Undi awal pada 8 Mac, manakala hari pengundian pada 12 Mac.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini