Penularan jangkitan COVID-19 yang semakin tinggi, memaksa pihak berkuasa China untuk menangguhkan pembukaan semula sekolah yang dijadualkan minggu depan.
Berita itu amat mendukacitakan kanak-kanak di Beijing yang telah lama tidak menjalani sesi persekolahan secara fizikal. Keputusan diambil seiring dengan strateginya iaitu “Sifar COVID-19”.
Ke arah itu, China telah melaksanakan perintah berkurung secara bersasar, pengujian kes melibatkan ribuan penduduk dalam satu-satu masa, selain tempoh kuarantin yang panjang.
Pihak berkuasa mengurangkan banyak sekatan bermula awal minggu ini. Namun berpuluh-puluh jangkitan yang dikaitkan dengan bar menyebabkan pihak itu mengetatkan lagi sekatan.
Kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah mulai Isnin.