Seorang penternak lembu dan peniaga ikan di Negeri Sembilan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas berdepan pertuduhan membunuh rakannya 12 Oktober lalu.

Tertuduh, Vickna Raja Subrayan, 32 tahun, dan Kalaichelvam Ramasamy, 45 tahun, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Port Dickson, Vanita Vasudevan.

Mengikut pertuduhan, mereka pada 12 Oktober lalu, kira-kira pukul 6.30 petang hingga 13 Oktober pukul 8. 00 pagi, bertempat di Pasar Mini di Jalan Linggi, Kampung Air Kuning telah didapati membunuh seorang lelaki, Kannan Arumugam, 44 tahun.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Disember ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nurathirah Zainudin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishan Raja.

Sebelum ini , kedua-dua mereka turut dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki bernama Arumugam Vellauthan, 70 tahun, yang merupakan ayah kepada si mati dengan menggunakan senjata parang, yang boleh menyebabkan kematian di lokasi yang sama. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini