Beijing memberi amaran tidak akan tunduk kepada tekanan luar selepas Amerika Syarikat menaikkan levi tarif ke atas barangan import China. Selepas menaikkan tarif daripada 10 kepada 25 peratus, Presiden Donald Trump mengarahkan kerajaan memulakan proses bagi mengenakan duti import baharu terhadap produk China bernilai 300 bilion dolar Amerika. Amaran itu dikeluarkan selepas China berjanji melaksanakan langkah tindak balas wajar bagi menangani perang perdagangan dengan Amerika Syarikat itu. Berita mengenai kesediaan Trump berbincang dengan Presiden Xi Jinping sempena sidang negara kumpulan G-20 bulan hadapan, tidak memberi impak kukuh kepada pasaran saham. Perang perdagangan dua kuasa ekonomi itu yang berlarutan, menyebabkan pasaran saham Asia mengalami kejatuhan kerana ketidaktentuan rundingan Beijing-Washington itu. Rundingan terbaharu di Washington minggu lalu, gagal mencapai sebarang keputusan sebaliknya Washington menaikkan tarif terhadap import dari China. Hampir keseluruhan pasaran saham Asia ditutup rendah pada Isnin dan sepanjang minggu ini, hubungan perdagangan kedua-dua negara dijangka menjadi fokus pelabur.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini