Jumlah perdagangan Malaysia melepasi 1 trilion ringgit dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, tersingkat pernah dicatatkan.

Prestasi eksport, import dan lebihan dagangan turut mencatat nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga Mei.

Perdagangan meningkat 25.1 peratus kepada RM1.08 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Eksport tumbuh 23.5 peratus kepada RM592.97 bilion dan import meningkat 27 peratus kepada RM491.85 bilion.

Lebihan dagangan pula berkembang 9 peratus menjadikan jumlahnya RM101.12 bilion.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi perdagangan pada Mei 2022 juga kekal kukuh, merekodkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021.

Jumlah perdagangan pada bulan tersebut naik 33.6 peratus kepada RM228.37 bilion berbanding Mei 2021, pertumbuhan dua angka ke-16 bulan berturut-turut.

Eksport meningkat 30.5 peratus kepada RM120.49 bilion, disumbang oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Manakala import berkembang 37.3 peratus kepada RM107.88 bilion menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM12.62 bilion.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini