Pengusaha ikan sangkar di Lagun Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan melakukan pelbagai persediaan berdepan musim tengkujuh untuk mengelakkan kerugian lebih besar. Mereka mengambil alternatif dengan menjual spesis ikan yang dipelihara termasuk Siakap, Talapia dan Kerapu Hibrid sejak seminggu lalu.

Hasil ikan sangkar yang telah matang dijual kepada pengusaha restoran dan pengusaha kolam pancing di sekitar negeri Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Mohd Sofian Mohd Nordin, 29 tahun, yang mengusahakan ikan sangkar sejak 3 tahun lalu, memiliki 20 buah sangkar dengan 2,000 ekor ikan dari pelbagai spesis.
 
Katanya, kejadian ikan mati pada musim tengkujuh tahun lalu dijadikan iktibar untuk lebih bersiap sedia berdepan musim tengkujuh kali ini.

Bagi seorang lagi pengusaha, Mohd Azmi Ismail, 50 tahun, dia yang baharu berjinak memelihara ikan sangkar sejak 5 bulan lalu mempunyai 14 buah sangkar dengan 6,000 ekor ikan seperti siakap merah dan putih. Bagaimanapun, dalam sangkarnya masih terdapat kumpulan ikan yang tidak mencapai berat untuk dijual.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini