Tentera Ukraine bersiap sedia untuk berundur dari bandar strategik Severodonetsk selepas pertempuran sengit selama berminggu-minggu. Tindakan itu telah memberi peluang kepada Rusia untuk merampas kawasan yang lebih besar di timur Ukraine.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Kesatuan Eropah memberikan status calon negara anggota kesatuan tersebut kepada Ukraine sebagai tanda sokongan kepada bekas negara Kesatuan Soviet itu.

Moscow menolak keputusan Kesatuan Eropah (EU) sebagai langkah untuk mengawal Rusia secara geopolitik. Rusia telah menumpukan serangannya di wilayah Donbas di timur Ukraine selepas diusir dari Kyiv dan kawasan lain pada minggu pertama pencerobohan pada Februari.

Pasukannya secara beransur-ansur mencapai kemajuan walaupun menghadapi tentangan sengit dan mengalami kekalahan besar.

Hab perindustrian Severodonetsk menjadi lokasi pertempuran jalanan selama berminggu-minggu ketika rakyat Ukraine berjuang mempertahankan bandar itu.