Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk di negara ini meningkat sebanyak 20 peratus.
Ia dicatatkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 dari 5 hingga 11 Jun lalu.
Dalam tempoh itu juga, bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini meningkat sebanyak 0.4 peratus iaitu 11,096 kes ketika purata kadar kebolehjangkitan COVID-19 naik sebanyak 5.5 peratus atau 0.96.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemasukan pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Kes kematian pada ME ke-23 juga menunjukkan penurunan kepada 3.8 peratus manakala kes sembuh bagi tempoh sama menurun sebanyak 21.7 peratus.
Selain itu katanya, bilangan pesakit jangkitan Kategori 1 dan 2 juga meningkat sebanyak 33.3 peratus, manakala Kategori 3 hingga 5 pula naik sembilan peratus.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 4, 524,727 kes.