84 petugas awal haji selamat tiba di Mekah malam tadi bagi memulakan operasi haji bagi musim 2022.

Mereka merupakan kumpulan kedua daripada 13 petugas awal pelbagai sektor yang terlebih dahulu tiba pada 28 Mei, manakala baki dari keseluruhan 304 petugas haji musim ini akan tiba secara berperingkat pada 2 Jun dan 5 Jun nanti.

Kumpulan 84 petugas awal haji tiba di lapangan terbang antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah kira-kira pukul 7.20 petang waktu tempatan.

Sebaik tiba, rombongan disambut petugas Pejabat Konsul Haji Malaysia dan dibawa ke Pejabat Konsul Haji di Jeddah untuk sambutan ringkas dan taklimat
semasa, operasi musim haji tahun ini.

Petugas awal seterusnya bergerak ke Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah dan ke Abraj Al-Janadriah iaitu Bangunan Tabung Haji Malaysia.

Secara keseluruhan, 304 petugas haji bertugas bagi operasi musim haji tahun ini dari pelbagai sektor antaranya kesihatan, kebajikan, teknologi maklumat, pembimbing ibadah, guru agama, kaunselor, sajian dan lain-lain lagi.

Tabung Haji menggunakan 48 penerbangan khas untuk membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dengan kumpulan pertama dijangka tiba di Madinah pada 4 Jun ini, menaiki penerbangan KT1.

Manakala 8 stesen pelepasan digunakan untuk urusan melapor diri iaitu di KLIA, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini