Syarikat pengeluar vaksin, PFIZER dilaporkan semakin hampir untuk mendapat kelulusan bagi mengeluarkan pil antiviral COVID-19.

Pihaknya mendakwa pil oral berkenaan menunjukkan hampir 90 peratus keberkesanan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Mereka juga mendakwa, data ujian terkini turut menunjukkan pil berkenaan mampu untuk membendung varian Omicron.

Menurut Ketua Pegawai Saintifik Pfizer, Mikael Dolsten, berdasarkan ujian terhadap 1,200 orang pesakit COVID-19 pada November, tiada kematian dilaporkan setelah pengambilan ubat berkenaan.

Pil oral Pfizer itu perlu diambil dua kali setiap hari untuk lima hari, bermula sejurus timbulnya gejala.

Jika ubat berkenaan mendapat kelulusan, ia akan dikenali sebagai Paxlovid.

Pfizer juga mengeluarkan data awal daripada kajian kedua menunjukkan rawatan itu mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 70 peratus dalam kajian berskala kecil bagi orang dewasa.

Keputusan itu jelasnya menunjukkan trend positif.

Dolsten turut menjangkakan, kebenaran dan kelulusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) akan diperolehi tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan, Presiden Amerika, Joe Biden mengatakan tempahan awal telah pun dibuat, cukup untuk diberikan kepada 10 juta rakyatnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini