Selepas membenam Kemboja 3-1, Malaysia terus mempamer aksi konsisten dalam saingan kumpulan B.

Pertemuan menentang Laos di stadium Bishan, Singapura petang tadi menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe melakar kemenangan bergaya 4-0.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe di tangga teratas dengan 6 mata.

Safawi Rasid meletakkan Harimau Malaya di depan seawal minit ke-7 selepas menyambut hantaran lintang pemain sayap Ariff Aiman Hanapi.

Sentuhan Safawi sekali lagi berhasil apabila tandukannya gagal dihalang kemas pemain pertahanan Laos pada minit ke-33 untuk meletakkan Malaysia selesa 2-0 di depan.

Bersambung babak kedua, anak buah Cheng Hoe terus menguasai perlawanan.

Namun deretan peluang yang berjaya dicipta gagal diterjemahkan barisan serangan.

Cheng Hoe turut melakukan empat pertukaran termasuk membawa masuk Dominic Tan, R Kogileswaran dan Shahril Fikri.

Gol ketiga skuad negara hadir pada minit ke-78 menerusi gerakan cantik pemain pertahanan, Shahrul Saad yang menyempurnakan hantaran Baddrol Bakhtiar.

Belum pun reda dengan jaringan itu, Safawi melebarkan lagi kedudukan apabila meledakkan hatrik dua minit kemudian sebelum direhatkan dan diganti dengan Guilherme de Paula.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini