Thailand berada di landasan terbaik untuk melakar sejarah tersendiri selepas mengatasi Indonesia 4-0 pada perlawanan akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Singapura, ketua pasukan Chanathip Songkrasin mempamerkan aksi berkelas tinggi dengan meledak dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.

Chanathip meletakkan Thailand di hadapan seawal minit kedua sebelum menambah gol kedua skuad Gajah perang itu pada minit ke-52.

Thailand terus menguasai padang dan kekal dengan tempo permainan pantas sebelum Supachok Sarachart berjaya meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-67.

Situasi semakin parah buat Indonesia yang memburu kejuaraan sulung mereka pada kejohanan dwitahunan itu selepas dibolosi buat kali keempat dengan menyaksikan Bordin Phala mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-83.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia berdepan tugas getir pada perlawanan akhir kedua di venue sama Ahad ini manakala Thailand hanya selangkah untuk meraih gelaran juara buat kali keenam.

Thailand muncul juara sulung Piala AFF pada 1996 sebelum meraih empat lagi gelaran pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini