Impian Harimau Malaya beraksi pada Piala Asia 2023, tercapai.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon membuktikan kemampuan apabila menamatkan kempen kelayakan Kumpulan E selaku naib juara selepas menewaskan Bangladesh 4-1.

Lebih membanggakan, ini adalah kali pertama Malaysia layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil; skuad Harimau Malaya hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mengesahkan slot ke Piala Asia 2023.

Bagaimanapun skuad bimbingan Pan Gon membuktikan mereka mampu meraih keputusan lebih baik apabila berjaya mendominasi permainan menerusi jaringan awal Safawi Rasid pada minit ke-16 .

Tekanan terus diberikan kepada Bangladesh apabila Dion Cool menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38.

Baki dua lagi jaringan skuad kebangsaan dijaringkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-47 dan Darren Lok pada minit ke-73 manakala jaringan tunggal pasukan lawan dijaringkan oleh Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.

Malaysia kini mengiringi Bahrain ke Piala Asia tahun depan selaku dua wakil Kumpulan E.

Bahrain meraih slot automatik selaku juara Kumpulan E selepas menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah sepanjang tiga perlawanan berlangsung.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia  ialah pada 1980 di Kuwait dan pada 2007 skuad kebangsaan menyertai Piala Asia selaku tuan rumah bersama Vietnam, Indonesia dan Thailand.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini