Setelah 14 bulan memberikan khidmatnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0  akan ditutup secara rasmi 8 Februari ini.

Difahamkan kumpulan pesakit COVID-19 terakhir yang menerima rawatan di PKRC itu sudah dibenarkan keluar pada 30 Januari.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata PKRC MAEPS 2.0 ditutup setelah didapati ia tidak lagi ekonomik dengan mengambil kira kos operasi dan jumlah pesakit yang semakin berkurang.

NADMA adalah agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan PKRC di seluruh negara.

Menurutnya pada masa ini terdapat 51 PKRC beroperasi di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 16,863 katil dan 4,061 pesakit sedang dirawat di PKRC berkenaan.

Cadangan menutup PKRC MAEPS 2.0 itu telah dibentangkan dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020, dengan pengambilan pesakit COVID-19 bukan warganegara bagi kategori satu serta kategori dua, dan kemudian dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori tiga dan empat dengan skala yang sederhana.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini