Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia hari ini, melawat fasiliti pengeluaran alat pertahanan di wilayah Bandung. 
 
PT PINDAD adalah perusahaan milik Indonesia yang mengkhusus dalam produk ketenteraan dan komersial. Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 
 
Turut hadir Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto. PINDAD menyediakan persenjataan dan amunisi untuk Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan agensi beruniform lain bagi menyokong keupayaan pertahanan dan keselamatan republik itu.
 
Selain pertahanan, PINDAD juga mengeluarkan produk industri untuk bidang lain seperti pengangkutan dan bahan letupan komersial. Semasa pandemik COVID-19, PT PINDAD membangunkan prototaip ventilator untuk digunakan sebagai alat bantuan pernafasan bagi pesakit.
 
Memandangkan bilangan pesakit meningkat dan permintaan untuk peralatan perubatan di republik itu bertambah, PINDAD menghasilkan dan mengedarkan ventilator yang murah ke hospital di seluruh Indonesia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini