Perdana Menteri mengucapkan syabas dan tahniah kepada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

Ia susulan kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu memenangi pingat gangsa bagi acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

Datuk Seri Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook berharap kejayaan yang diraih Datuk Pandelela akan menjadi pendorong buatnya menjelang aksi seterusnya.

Dalam acara 10 meter platform wanita, beliau berjaya mencatat 338.85 mata untuk meraih kedudukan podium.

Pingat emas dan perak didominasi penerjun China, Chen Yuxi dan Quan Hongchang.

Datuk Pandelela akan kembali ke kolam terjun Khamis ini untuk acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri.