Prasarana Malaysia Berhad sedang merangka program untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasanana; Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya sedang meneliti jawatan bersesuaian termasuk menyediakan latihan dan perkhidmatan sokongan.

Prasarana juga akan terus bekerjasama dangan persatuan-persatuan OKU serta badan berkanun yang lain bagi merealisasikan inisiatif tersebut.

Beliau bercakap dalam sidang media sempena Hari OKU Sedunia peringkat Kumpulan Prasarana di Kuala Lumpur.

Dalam majlis itu juga, Prasarana menyerahkan alat bantuan OKU kepada Ahli Dewan Negara merangkap Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Prasarana turut menawarkan tambang percuma selama 9 hari kepada penumpang OKU dan seorang perngiring bermula hari ini hingga 12 Disember. Tambang percuma itu melibatkan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT laluan Sunway.

Datuk Ras Adiba berharap tawaran tambang percuma itu dapat menggalakkan lagi warga OKU menggunakan perkhidmatan awam khususnya bagi yang belum pernah menaiki pengangkutan awam. Untuk rekod, bermula Januari hingga Oktober lepas, seramai 119,167  pengguna OKU menggunakan perkhidmatan rel kendalian Prasarana dengan purata 392 pengguna sehari.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini