Seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pemilih berdaftar, layak mengundi pada PRU DUN Melaka Sabtu ini.

Suruhanjaya Pilihan raya- SPR menyeru kepada semua pengundi, supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan medianya berkata; pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi, dan disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR.

Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

SPR melalui aplikasi MySPR Semak, turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Namun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, dan mereka perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan pencegahan COVID-19.

Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran, bagi memudahkan semakan nama pengundi, serta membantu kelancaran proses pengundian.

Selain itu, pengundi dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini