Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) membuka peluang kepada warga Pahang untuk meneroka dan menceburi bidang perniagaan pra-francais melalui “Mini Business In Transformation Expo (BITe)” dengan sasaran pembiayaan sebanyak RM300,000.

Program tersebut merupakan program transformasi perniagaan usahawan kecil kepada perniagaan francais selain membantu usahawan kecil dan sederhana menjadi lebih kompetitif dan sistematik.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim pihaknya telah membiayai RM8.3 juta bagi program BIT sejak tahun 2013 dan telah melahirkan seramai 2,000 pra francaisi serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 4,000 orang.

Menurut beliau, bagi menambah baik Program BIT pakej pembiayaan pra-francais telah dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM50,000 bagi memberi peluang kepada bakal usahawan memiliki konsep perniagaan yang lebih menarik dan penggunaan peralatan yang lebih berkualiti.

Tambahnya, sebanyak 184 jenama telah didaftarkan sehingga kini dengan sasaran dapat melahirkan 22 usahawan pra-francaisi baharu di bawah program BIT pada tahun ini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Mini Bite 2022 di Kuantan.