Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor.

Menerusi pengumuman calon yang dibuat, dijangka 223 calon dari parti-parti berkenaan akan mengemukakan borang pencalonan hari ini.

Setakat Khamis lepas, sejumlah 894 borang penamaan calon telah pun terjual.

SPR menetapkan hari pengundian pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini