Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hari ini pada sebelah pagi diramal cerah di kesemua tiga daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan ribut petir pada waktu petang di kesemua kawasan.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19, pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan akan diuruskan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi dan cadangan masa yang digalakkan bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi dinyatakan apabila pengundi membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR. – Bernama

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini