Kempen PRU DUN Melaka untuk hari keenam terus dipergiat calon-calon bertanding dan dimuat naik ke laman sosial masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Taboh Naning, Zulkifflee Mohd Zin meluangkan masa menunaikan solat jenazah di Kampung Melekek Dalam selepas mendapat berita kematian salah seorang penduduk kampung berkenaan.

Beliau kemudiannya mengadakan ziarah kasih bersama warga DUN Taboh Naning. Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sungai Rambai, Muhammad Jefry Safry memulakan aktiviti di laman sosial dengan sesi pemasangan sepanduk di Warung Lagend Sungai Rambai dan beramah mesra bersama masyarakat di Warung Gopal.

Beliau turut berkongsi mengenai Kelas Taekwondo secara percuma yang diadakan pada setiap minggu bagi kanak-kanak di Kampung Seri Mendapat.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dun Gadek, G. Saminathan  berkongsi aktivitinya dengan sarapan bersama veteran DAP, Lim Kit Siang di Pasar Pulau Sebang, Alor Gajah.

Beliau turut memuat naik video bertajuk “Memperkasakan Peniaga Tempatan” mengenai kisah gerai Mak Cik Rakiah di Gadek yang terkenal dengan menu sarapan pagi seperti nasi lemak, lontong, dan roti canai.

Di laman Facebook calon bebas DUN Rembia, Sabarudin Kudus telah berkongsi aktiviti menunaikan solat zohor bersama jemaah di Masjid An-Nasuha. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini