Polis akan memanggil penganjur yang membawa kumpulan penyokong parti ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Melaka semalam, untuk diambil keterangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Azlan Abu berkata, kertas siasatan terhadap empat laporan polis yang diterima telah dibuka.

Empat laporan polis berkenaan membabitkan Pusat Penamaan Calon di Kompleks Japerun Tanjung Bidara dan Kompleks Japerun Kuala Linggi di Masjid Tanah, Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas serta Dewan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Bukit Baru di Melaka Tengah.

Siasatan dijalankan mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan kerjasama masyarakat khususnya pengguna media sosial untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkaitan PRU DUN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan  8 November sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini