Semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di negeri ini sejak dari 4 November hingga 27 November depan.

Ini dimaklumkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini, semalam.

Selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan sejak 25 Oktober hingga 27 November ini.

Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus  kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini