Penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, penganjur perlu mendapatkan PERMIT daripada pihak Polis sebelum mengadakan aktiviti berkenaan. Penganjur juga dinasihatkan menggunakan lokasi tertutup bagi mengawal kehadiran orang ramai.

SPR menerusi laman sesawang rasminya, turut menggariskan prosedur operasi standard (SOP) lain, antaranya penganjur perlu memastikan, hanya 50 peratus daripada kapasiti sebenar premis dibenarkan hadir dalam satu-satu masa.

Orang ramai yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk sesebuah kampung atau rumah panjang sahaja. Selain itu, aktiviti berkempen hanya dibenarkan di kawasan pilihan raya DUN masing-masing dan tidak dibenarkan merentas DUN lain.

SPR memberi pengecualian, dengan mengehadkan, hanya lima pemimpin parti kanan bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan merentas DUN bagi tujuan berkempen, dan perlu membuat permohonan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan SPR.

Selain itu, mesyuarat di Bilik Gerakan parti atau calon dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksin. Semua yang terlibat dikehendaki menjalani ujian kendiri COVID-19 setiap dua hari sepanjang kempen berlangsung.

Sementara itu, SOP penamaan calon ditetapkan sama seperti yang pernah berlangsung pada PRU DUN Melaka yang lalu.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini