Penggunaan pukat pari atau lebih dikenali ‘pukat malas’ oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia berkenaan.
Kajian Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang mendapati , 45 peratus kematian penyu yang direkodkan setakat ini akibat tersangkut pada pukat pari, manakala 38 peratus terperangkap dalam pukat tunda.
Pengarah FRI, Sharum Yusof berkata Apabila penyu tersangkut pada pukat pari yang diletakkan di dasar laut selama dua hingga tiga jam, penyu akan kelemasan dan mati kerana gagal timbul di permukaan air untuk bernafas.
Memburukkan keadaan, ada nelayan yang sanggup membunuh penyu yang terperangkap sebab tidak mahu pukat mereka rosak ketika mahu mengeluarkan haiwan berkenaan.
Kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila 22 kes kematian dilaporkan dalam tempoh Januari lepas sehingga semalam.
Sehubungan itu pelbagai program kesedaran dan kursus diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran nelayan tentang kepentingan mengikut peraturan ditetapkan.