Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menambah jumlah Pusat Ekonomi Digital Malaysia (PEDi) ke hampir seribu buah daripada lebih 800 buah yang ada kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tambahan lebih seratus buah PEDi ini adalah untuk kawasan Dewan Undangan Negeri yang belum mempunyai PEDi.

Namun katanya, di Sarawak jumlah PEDi yang akan diwujudkan tidak bergantung kepada jumlah Dewan Undangan Negeri memandangkan taburan penduduk yang mungkin berjauhan.

Beliau juga mahu melihat pertambahan penglibatan penyertaan rakyat dalam kegiatan ekonomi digital terutama dalam kalangan usahawan di luar bandar.

Justeru, PEDi akan berperanan sebagai pusat latihan untuk usahawan di luar bandar belajar mengenai pemasaran digital.

Ini agar usahawan termasuk dari kawasan pedalaman Sarawak yang terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian produknya dapat memasarkan produk mereka ke pasaran luar sekaligus menambah pendapatan usahawan ini.

Ke arah memperkasa fungsi baharu Pusat Internet Komuniti yang kini dikenali sebagai PEDi itu, KKMM juga akan menyediakan peruntukan sehingga RM50,000 untuk setiap PEDi.
 
Dana berjumlah RM30 juta ini katanya adalah untuk penganjuran-penganjuran aktiviti oleh PEDi.

Tan Sri Annuar Musa ditemui media selepas melawat ke PEDi Selalang, Sarikei.

Transformasi ini katanya telah berjaya menjadikan PEDi sebagai pusat pemasaran produk luar bandar dan desa.

Hadir mengiringi beliau semasa lawatan itu adalah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini