Lepasan SPM berpeluang menyertai Program Tahun Asas Antarabangsa (IFY) pada kos lebih rendah di Malaysia, berbanding di United Kingdom, menerusi Pusat Pembelajaran Educity Iskandar, Johor.

Program hasil kerjasama Northern Consortium United Kingdom (NCUK), juga menawarkan tempoh sesi program singkat, iaitu sembilan bulan, sebelum memasuki universiti, berbanding tempoh lazim, satu tahun.

Pengarah Urusan Educity Iskandar Malaysia, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, peserta program juga terkecuali daripada menjalani beberapa ujian bahasa inggeris, sebelum menyambung pengajian Sarjana Muda.

Ini kerana program, mengguna pakai Modul Bersepadu, Bahasa Inggeris bagi Tujuan Akademik (EAP). Ia turut dapat mengecualikan pelajar daripada menetapkan semula Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (I-ELTS), di universiti pilihan mereka.

Pelajar yang berjaya melepasi program IFY akan mendapat lebih 4,000 peluang, melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda, serta dijamin penempatan di rakan universiti NCUK di United Kingdom, Australia, New Zealand, dan Kanada.