Ibrahim Mat Zin yang tular dengan video ritual dipercayai bagi menolak bencana banjir baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, hari ini.

Ibrahim, 71 tahun bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62, tahun; masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan 3 ribu ringgit dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Ketetapan dibuat Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak yang dikemukakan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana perlu masa untuk mengambil keterangan dan siasatan lanjut.

Dua individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

Bagi tujuan siasatan, dikemukakan agar kedua-dua mereka diberi pembebasan dengan satu cagaran penjamin oleh mahkamah.

Sebutan semula kes pada 23 Februari depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini