Raja Permaisuri Agong, Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat hadir mengucapkan selamat jalan kepada 291 orang bakal Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) hari ini.
 
Baginda yang tiba di kompleks berkenaan pada pukul 10 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.


Tunku Azizah yang membacakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah dan menyeru semua bakal haji agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT setelah dua tahun tertunda akibat wabak COVID-19.

Baginda turut meminta Jemaah Haji Malaysia agar sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara.

Kumpulan kali ini terdiri daripada 135 orang jemaah lelaki, 156
orang jemaah perempuan yang dijadualkan berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines (SV 5633) ke Jeddah pada pukul 4.45 petang dan dijangka tiba pada pukul  8.10 malam waktu Arab Saudi.
 
Penerbangan bagi Musim Haji 1443H kali ini merangkumi 48 penerbangan bermula Khamis, 4 Jun 2022 lalu dan terakhir pada Ahad, 2 Julai 2022.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini