Rapid Rail Sdn Bhd selaku operator kepada perkhidmatan MRT Laluan Kajang ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dialami pengguna akibat kelewatan jadual perjalanan berikutan masalah teknikal yang berlaku di Stesen MRT Phileo Damansara.

Hal ini berpunca daripada salah sebuah tren yang bernombor 22 telah mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan.

Pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan. 

Pengguna dari arah Kawasan Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.

Sebaliknya pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara.

Situasi ini telah menyebabkan pergerakan tren akan menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform. 

Kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail. 

Pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal.

Pengguna diminta untuk mengikut status terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini