Real Madrid mencatat kemenangan ‘El Clasico’ kelima berturut-turut ke atas musuh tradisi, Barcelona untuk mara ke final Piala Super Sepanyol hasil kemenangan tipis 3-2 awal pagi tadi.

Pada aksi separuh akhir yang diadakan di Arab Saudi itu, kedua-dua pasukan terikat 2 sama sepanjang 90 minit permainan, sekali gus memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Vinicius Junior dan Karim Benzema meletakkan Real dua kali di depan, namun Barca berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Luuk de Jong (Yong) dan Ansu Fati.

Ketika masa tambahan, perancang Uruguay, Federico Valverde muncul wira Real apabila menyumbat gol kemenangan, sekali gus menjamin pasukannya mara ke final.

Ini kemenangan ‘El Clasico’ kedua Real pada musim ini selepas menang 2-1 dalam kempen La Liga, Oktober lalu.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu bakal berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir di antara Athletic Bilbao dan Atletico Madrid yang akan beraksi awal pagi esok.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini