Remaja lelaki berusia 15 tahun yang meninggal dunia selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19,  23 Oktober lalu dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan vaksin atau ubat dan tiada penyakit kronik.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming menerusi satu kenyataan berkata, remaja tersebut juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama.

Pada 24 Oktober lalu, sehari selepas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SMK Gunung Rapat, mangsa mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri di rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia, pukul 10.40 pagi hari sama.

Menurut Datuk Dr. Ding, hasil bedah siasat mendapati terdapat penyempitan pada saluran paru-paru mangsa.

Kesemua sampel tisu dalam badan dihantar untuk pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh.

Punca sebenar kematian bagaimanapun masih belum diketahui kerana masih menunggu laporan lengkap proses bedah siasat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini