Seorang pemandu lori yang didapati positif dadah ditahan selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, Ibu negara. Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang semalam, seorang pemandu kereta berusia 45 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu terperangkap dalam kenderaannya, namun berjaya diselamatkan oleh orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata lori yang dipandu oleh suspek berusia 25 tahun itu, menghala ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh lima kenderaan. Ketika sampai di lampu isyarat Jalan Ipoh, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh lima kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat. Pemandu kereta itu cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Manakala pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Ujian awal mendapati suspek tidak dipengaruhi alkohol namun diuji positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

Semalam, tular di media sosial rakaman kamera perakam video yang memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah. Berdasarkan maklumat, kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta berwarna kuning remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan.      

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini