RM33 juta permohonan Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah telah diluluskan sehingga 1 Januari lalu bagi tujuan pemulihan ekonomi pasca banjir.

Ia merupakan sebahagian dariapda  permohonan bernilai RM93 juta yang dibuat penduduk terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi sumbangan Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN), sebanyak 60 peratus daripada sumbangan berjumlah RM58 juta telah berjaya dilaksanakan.

Ia susulan pengumuman kerajaan mengenai pemberian Baucer Pembelian Barangan Elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang akan menggunakan mekanisme Kelestarian dicapai melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) iaitu penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari.

Pada tarikh sama, diskaun dan Baucer Pembaikan Kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan kenderaan.

Permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mula dibuka untuk permohonan sejak 27 Disember lalu.

Permohonan moratorium sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada juga boleh dibuat bermula 19 Disember.

Bagi pinjaman TEKUN untuk PMKS yang telah diumumkan pada 20 Disember lalu, pelaksanaan telah pun bermula pada 1 Januari, melibatkan dana sebanyak RM30 juta.

Manakala bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam, dana berjumlah RM25 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini