Manchester United akhirnya hilang sabar dengan pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer apabila dilaporkan membuat keputusan untuk memecat pengendali dari Norway berkenaan susulan kekalahan memalukan 1-4 kepada Watford semalam.

Difahamkan, keputusan yang dibuat ahli lembaga pengarah United itu telah mendapat lampu hijau daripada pemilik kelab, Joel Glazer dan ia akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat. Sebelum ini, media melaporkan satu mesyuarat tergempar telah diaturkan oleh lembaga pengarah United bagi membincangkan masa depan Solskjaer.

Mesyuarat khas tersebut membincangkan tentang pampasan yang perlu dibayar jika memecat legenda United ini dari Old Trafford. Solskjaer sebelum ini diberi tugas menghadiahkan gelaran liga pertama buat United sejak 2013 selepas membawa masuk beberapa pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

Namun, pengendali dari Norway itu bergelut mencapai sasaran tersebut, termasuk dikritik penyokong sendiri ketika kekalahan 0-5 kepada Liverpool dan tumpas 0-2 kepada jiran setempat, Manchester City.

Laporan sama turut menyebut pemilik kelab, Glazer telah mengarahkan United mempercepatkan usaha membawa masuk Zinedine Zidane sebagai pengganti Solskjaer. Buat masa ini, bekas pemain, Darren Fletcher yang kini menjadi pengarah teknikal The Red Devils, akan memangku jawatan pengendali sementara dengan dibantu Michael Carrick.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini