Sistem pengairan dan saliran melibatkan kos lebih RM410 juta sedang dibangunkan untuk mengatasi masalah air sekali gus meningkatkan sektor pertanian di Kota Belud.

Ia merangkumi 17 projek pembangunan dan kerja naik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama dan jalan ladang serta infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata… pembangunan infrastruktur itu dapat meningkatkan hasil dan sasaran tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus berbanding 24 peratus SSL Beras ketika ini.

Datuk Ronald berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Kota Belud.

Program SMART SBB di Kota Belud adalah di bawah seliaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai syarikat peneraju yang melibatkan 40 pesawah dengan kawasan penanaman seluas 45 hektar.

Pada majlis sama, Datuk Ronald menyempurnakan simbolik Majlis Pecah Tanah bagi Pembangunan Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bernilai RM36 juta

Dalam perkembangan sama, katanya, MAFI bercadang mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Sabah dan Sarawak dengan sasaran pembukaan kawasan jelapang baharu seluas 200 ribu hektar di kedua-dua negeri  dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini