Skuad ragbi tujuh sebelah Malaysia telah berjaya menempah slot ke Sukan Komanwel 2022 yang akan berlangsung di Birmingham, United Kingdom.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Fahmy Jalil berkata, skuad Bunga Raya 7 Sepasukan itu layak setelah menduduki tempat kedua teratas dalam senarai pasukan dari negara Komanwel yang menyertai Kejohanan Asia Ragbi 7 Sebelah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Fahmy berkata, barisan pemain negara akan menjalani kem persediaan awal ke Birmingham di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Januari depan.

Tambahnya, seramai 20 pemain akan dipanggil menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Saizul Hafifi Md Noor.

Skuad ragbi lelaki negara menghuni tangga ketujuh daripada lapan pasukan dalam kejuaraan Siri Tujuh Sebelah Ragbi Asia 2021 UAE itu.

Mereka menewaskan Filipina 28-19 dalam aksi penentuan tempat ketujuh / kelapan Ahad lepas.

Ini penyertaan kali keenam skuad ragbi negara dalam temasya Komanwel sejak penampilan sulung ketika menjadi tuan rumah pada 1998.

Sebelum ini, Malaysia gagal layak beraksi pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini