Seorang pemilik kedai runcit berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta selepas didapati menyorok minyak masak paket.

Perbuatan pemilik kedai terbabit terbongkar selepas pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Cawangan Kulim melakukan pemeriksaan mengejut di premis terbabit di Kulim .

Pengarah Pejabat KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, bertindak atas maklumat keengganan peniaga kedai runcit menjual minyak masak berpaket 1 kilogram kepada pengguna, pegawai penguatkuasa telah menyamar sebagai orang awam membeli minyak masak paket dalam kedai runcit tersebut.

Peniaga terbabit memaklumkan minyak masak paket sekilogram tiada stok dan hanya minyak masak botol 3 hingga 5 kilogram sahaja yang ada dan dipamerkan untuk jualan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut di stor simpanan kedai runcit tersebut mendapati sebanyak 28 paket minyak masak  sekilogram disimpan dalam sebuah kotak.

Pemilik premis mengakui bahawa beliau hanya menjual minyak masak paket kepada orang yang dikenali sahaja.

Bagi kesalahan-kesalahan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua–duanya sekali.

Manakala bagi syarikat atau pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini