Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.

Baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Selangor.

Titah Baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Official, contohnya, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

Titah baginda lagi, masjid-masjid daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000  jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

Manakala masjid-masjid institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah.

Bagaimanapun, Baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di dalam masjid.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini